Friday, October 17, 2014

Cucu Wan Lebor imbau nostalgia /myMetro








Oleh Nor Akmar Samudin


Keindahan daerah Malim Nawar, Perak, menjadi latar cerita drama 13 episod, Cucu Wan Lebor yang mengisahkan keletah dan kenakalan cucu-cucu Wan Lebor lakonan Khatijah Tan. Daerah nan damai dan permai itu juga adalah tempat pengarah drama itu, Mior Hashim Manap dilahir dan dibesarkan. Pastinya Malim Nawar menjadi destinasi yang meninggalkan begitu banyak kenangan kepada Mior.

Sekembalinya Mior ke daerah kelahirannya bersama skrip yang menarik membuka semula cerita lama Mior di kala dia mengharungi zaman kanak-kanak dan remajanya bersama adik-beradik, sepupu dan kawan-kawannya. Sebelum ini jelas Mior, memang dia ada bercadang untuk membuat penggambaran di Malim Nawar namun tiada jalan cerita sesuai yang boleh dibawa ke sana sehinggalah Penerbit Eksekutif Raden Pictures Sdn Bhd, Zaitun Kassim memberinya skrip Cucu Wan Lebor hasil nukilan Nor Syafinaz Samsudin.



“Selepas saya membaca dan meneliti skrip itu, terus terbayang di mata saya yang Malim Nawar adalah lokasi paling sesuai untuk merakamkan setiap episod Cucu Wan Lebor kerana setiap elemen yang diperlukan ada di sana. Sampailah cita-cita saya untuk mengangkat kampung sendiri menjadi lokasi penggambaran drama arahan saya.

“Saudara-mara saya di Malim Nawar tidak sabar menunggu kedatangan kami dan mereka siap buka Facebook khusus untuk drama Cucu Wan Lebor. Perasaan saya mengarah kali ini rasa lain kerana buat di tempat sendiri, setiap detik yang dilalui watak kanak-kanak itu seperti bayangan diri saya sendiri.


“Penggambaran berlangsung selama tiga minggu pada awal tahun ini. Selepas selesai penggambaran Cucu Wan Lebor, ada produksi lain pula masuk kerana mereka baru ‘buka mata’ dengan lokasi baru ini,” katanya.


Menurut Mior, sebelum dia menetapkan untuk ke Malim Nawar dia bertanya kepada penerbit Raden Pictures sanggupkah syarikat berbelanja lebih demi memberi kelainan kepada penonton?

“Sudah habis daerah Hulu Langat, Selangor diterokai dan saya perlu mencari lokasi baru yang penonton belum pernah tengok,” katanya.

Cucu Wan Lebor terlebih dulu dibuat telefilem untuk siaran RTM tahun lepas dan apabila ia mendapat respons baik daripada penonton, ia dibuat bersiri pula namun ia bukanlah kisah yang bersambung.

Jelas Mior, dalam telefilem ia mengisahkan kenalan cucu Wan Lebor pada musim cuti sekolah saja tetapi untuk drama 13 episod ia memaparkan kenalan kanak-kanak itu di sekolah, di rumah dan dalam kampung.

“Memandangkan ia bersiri, saya tambahkan jalan cerita dengan menunjukkan siapa ibu bapa mereka dan dengan itu saya masukkan beberapa watak tambahan. Bagaimanapun dua daripada pelakon kanak-kanak asal tidak bersama kali ini apabila ibu kepada seorang pelakon tidak benarkan dia berlakon kerana penggambaran lama dan seorang lagi sudah besar.

“Bekerja dengan kanak-kanak lain kerana ada masa mereka bergaduh, hilang mood dan letih, kenalah banyak bersabar. Apa pun saya seronok mengarahkan drama ini kerana industri kita tidak banyak menerbitkan cerita kanak-kanak. Kalau ada pun tetap disuntik elemen cinta,” katanya.

Rezeki Mior selepas selesai penggambaran Cucu Wan Lebor dia ditawarkan mengarah telefilem Setulus Cinta Aqilah dan satu lagi drama kanak-kanak berjudul Rumi Masuk Jawi.

“Menariknya Cucu Wan Lebor menggunakan dialek Perak sementara drama Rumi Masuk Jawi pula bercakap dialek utara,” katanya.


Sinopsis Cucu Wan Lebor

Sebagaimana tajuknya, cerita ini mengisahkan kehidupan cucu-cucu Wan Lebor (Khatijah Tan) iaitu orang tua yang disegani dan dikenali di seluruh kampungnya. Kenakalan cucu- cucunya terutamanya ‘ketua’ mereka Pudin (Mior Adha Najmi) menjadi tumpuan penduduk kampung.

Bagaimanapun dalam kenakalan mereka, Wan Lebor menerapkan nilai persahabatan dan kasih sayang antara Putin dengan sepupunya, Muzammil (Ameer Rabbanie), Najwa (Hias Mahsuri Sopian), Ajis (Syamim Razi), Amirul (Muhammad Suhail) dan Mashitah (Nur Syazliana Mohd Sharifdititik).

Misalnya, bagaimana mereka berusaha mengumpulkan wang seperti bermain kutu sesama mereka kerana mahu membawa keluarga bercuti ke Pulau Pangkor. Mereka juga melakukan pelbagai kerja untuk melaksanakan impian mereka itu.

Kehadiran Cikgu Khalid (Khairul Nizam), menyemarakkan lagi jalan cerita apabila Pudin sering mengenakan Cikgu Khalid di sekolah dan Cikgu Khalid akan membalas dendam namun kehadiran Cik Mara (Yumma Yusof) yang membuahkan cinta di hati Cikgu Khalid menyebabkan cikgu itu sanggup menghulurkan salam kedamaian dengan Pudin kerana dia mahu Pudin kenalkan Cik Mara kepadanya.

Wan Lebor pula azamnya tahun ini mahu mengerjakan umrah di Makkah bersama anak sulungnya Azhar (Ayah Chor - Kazaruddin Saisi) iaitu bapa Pudin. Wang sudah cukup, tempat sudah ditempah tetapi malang tidak berbau, wangnya diragut ketika baru dikeluarkan dari ASB.

Cucu-cucu Wan Lebor amat bersimpati lalu apakah yang mereka akan lakukan? Berjayakah Pudin dan sepupu-sepupunya membantu Opah dan Ayah Chor mengerjakan umrah dan berjayakah rancangan percutian mereka ke Pulau Pangkor?

Untuk mengetahui kesudahan cerita ini, saksikan Cucu Wan Lebor yang akan disiarkan di RTM pada cuti sekolah hujung tahun ini.Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/21

- See more at: http://www2.hmetro.com.my/articles/CucuWanLeborimbaunostalgia/Article?hm#sthash.8SO5u85E.dpuf

No comments:

Post a Comment