Tuesday, October 14, 2014

Sesi Dialog berkenaan pemagaran dan pengepungan Lombong di LOT 97003 mukim kampar.

Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi dengan berkat doa dan harapan sekelian warga malim nawar akhirnya kami dapat berkumpul untuk menunjukkan protes terhadap pengambilan secara rampasan tanah di lot 97003 di mukim kampar..
         
       sedikit sinopsis tentang Malim Nawar yang umum pun mengetahuinya...

Malim Nawar merupakan pekan yang terletak di dalam mukim Kampar di bawah selian Pejabat Daerah Dan Tanah Kampar. Kawasan Malim Nawar dikelilingan oleh lombong-lombong hasil dari industri perusahaan bijih timah pada era 80-an. Selepas zaman kegemilangan perindustrian bijih timah, bekas-bekas lombong ini menjadi sumber pendapatan bagi sebahagian penduduk dengan hasil tangkapan ikan air tawar. Mereka  ini digelar nelayan darat, dan kesemuanya mempunyai lesen tangkapan ikan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Daerah Gopeng Kampar yang berjumlah 89 orang. Industri perikanan air tawar di kawasan Malim Nawar merupakan industri yang sedang berkembang pesat dari hari ke hari.  Terdapat 6 buah stor ikan yang diusahakan oleh anak tempatan Malim Nawar kesemuanya adalah bumiputera, pengusaha stor ikan ini membeli ikan dari nelayan darat di kawasan Malim Nawar dan kemudian dijual kepada peraih-peraih ikan yang datang dari luar kawasan negeri Perak. Ada diantara peraih-peraih ini yang datang dari negeri Johor dan Selangor serta dari daerah lain di negeri Perak. Purata tangkapan ikan yang dinaikkan setiap hari adalah menjangkau 5000 kg. Selain itu, Malim Nawar juga terkenal di kalangan pemancing-pemancing ikan air tawar yang datang dari seluruh Negara untuk memancing. Aktiviti memancing ini memberikan pendapatan tambahan kepada penduduk Malim Nawar yang menyewakan bot kepada pemancing. Sektor ini merupakan sektor yang boleh berkembang maju jika diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.




                 Masalah yang dihadapi nelayan darat dan penduduk sekitar.

Pada Mei 2014, 3 buah lombong di lot 97003 mukim Kampar telah dipagar/dikepong yang menghalang nelayan-nelayan darat untuk menangkap ikan di kawasan tersebut. Perkara ini telah menjejaskan  sumber pendapatan nelayan-nelayan darat di kawasan Malim Nawar. Pihak tersebut juga telah menaikkan papan tanda berimej “Penceroboh akan ditembak” yang memberikan ancaman kepada nelayan-nelayan darat dan penduduk kawasan Malim Nawar. Pemagaran/Pengepongan lombong di lot 97003 mukim Kampar ini jika dibiarkan akan menambahkan lagi bilangan bekas-bekas lombong yang dipagar di kawasan mukim Kampar. Sehingga kini, secara anggaran hanya terdapat kira-kira 5 peratus sahaja lombong yang boleh dimasuki oleh nelayan-nelayan darat kawasan Malim Nawar. Selebihnya telah dipagar dan tidak boleh dimasuki. Ini mengancam sumber pendapatan nelayan-nelayan darat dan industri ikan air tawar. Permasalahan ini telah berlaku tanpa ada penyelesaian sejak beberapa tahun yang lalu.

            Tindakan dari kami Badan Bertindak Malim Nawar

Badan Bertindak Kg. Malim Nawar telah ditubuhkan pada Ogos 2014 bagi membuat bantahan pemagaran/pengepongan lombong di lot 97003 mukim Kampar. Badan ini terdiri daripada pemuda-pemuda Kg. Malim Nawar dan penduduk Malim Nawar yang membantah pemagaran/pengepongan lombong di lot 97003. Ini bertujuan bagi membantu nelayan-nelayan darat yang terancam akibat pemagaran/pengepongan lombong tersebut.




        Berita Dari PERAK TODAY.


Empat Lombong Diluluskan Bantu Nelayan Darat Tambah Pendapatan

Kerajaan negeri telah meluluskan empat kawasan lombong sebagai perairan umum untuk nelayan darat di kawasan Kampar dan sekitarnya menambah sumber pendapatan sedia ada.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, usaha tersebut dilakukan bagi membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu para nelayan darat yang berlarutan sekian lama.

“Kerajaan memandang serius masalah yang dihadapi nelayan darat dan ia mungkin akan kami bawa ke dalam mesyuarat exco untuk dibincangkan.



“Bagi peringkat permulaan, kita telah luluskan empat kawasan di Kampar, iaitu tanah milil kerajaan negeri sendiri untuk dijadikan perairan umum.

“Itu adalah perancangan dan usaha dalam masa terdekat untuk kita menyelesaikan masalah penduduk di sini,” katanya kepada media selepas sesi dialog bersama penduduk di Kampung Malim Nawar dekat Kampar, petang tadi.

Beliau berkata, pihaknya juga akan meneruskan usaha dalam tempoh jangka panjang untuk mendapatkan kebenaran daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) bagi menggunakan lombong di tanah milik mereka sebagai perairan umum.

“Kita juga telah berbincang dengan pihak SADC iaitu pemilik bagi 13 kawasan lombong di kawasan ini.

“Usaha untuk berbincang dengan pihak syarikat supaya membenarkan nelayan-nelayan darat tersebut juga akan diteruskan,” katanya lagi.

Ujarnya, penduduk perlu menyedari bahawa tanah tersebut telah dimiliki dan usaha untuk mendapatkan kebenaran syarikat itu agak memakan masa yang lama.

“Dari segi undang-undang itu sendiri, semua tahu bahawa apabila tanah itu telah menjadi hak milik orang iaitu hak milik sebuah syarikat, maka ia sudah tertakluk kepada undang-undang tersebut.

“Jadi, pihak kita mengambil masa untuk mengadakan perbincangan dan mendapatkan kelulusan untuk menggunakan lombong tersebut.

“Saya harap mereka bersabar dan kita akan panjangkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.

Sementara itu, pada sebelah pagi, Nolee Ashilin telah menghadiri majlis pelepasan kira-kira 85,000 anak benih pelbagai jenis ikan di salah sebuah kawasan lombong yang telah diluluskan tersebut.

“Daerah Kinta termasuklah Kampar adalah antara kawasan yang tertinggi menerima bantuan anak benih ikan

“Jadi, pelepasan benih ikan adalah perkara yang biasa kita buat dan InsyaAllah, apabila tiba satu fasa nanti ia sentiasa akan diadakan untuk membantu serta memastikan sistem ekologi atau bilangan ikan dalam lombong di situ bertambah,” ujarnya lagi.

Terdahulu, kira-kira 300 penduduk di Kampung Malim Nawar yang terdiri daripada nelayan darat telah menghadiri sesi dialog bersama ADUN Tualang Sekah, Kampar, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Razi berkaitan isu pemagaran kawasan lombong di sekitar kawasan tersebut.

Mereka menyuarakan rasa tidak puas hati berikutan kawasan lombong dijadikan sebagai tempat sumber pendapatan mereka sejak 20 tahun lalu telah dipagar oleh pihak syarikat yang mendakwa mereka pemilik tanah tersebut.



No comments:

Post a Comment